Wednesday, November 19, 2008

Panduan memahami cemburu wanita


Kebanyakan lelaki berkata mereka tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh wanita yang cemburu. Menurut mereka, walau apa sekalipun yang mereka buat, isteri mereka yang cemburu tetap juga cemburu. Ditinjau daripada satu sudut, cemburu ialah manifestasi hilangnya rasa selamat dari dalam hati si pencemburu (pasangan kita). Hilangnya rasa selamat bukan hanya menimbulkan cemburu, tetapi juga menghilangkan rasa kepuasan.
Menurut pakar-pakar pikologi perhubungan, bagi seseorang wanita, apabila dia berkahwin, dia mendapat kepuasan daripada dua sumber. Sumber kepuasan wanita yang pertama ialah tingkah-laku suaminya kepadanya. Dalam erti kata yang lain, dia mendapat kepuasan daripada cara-cara suaminya melayan dirinya. Setiap kali suaminya melayan dia dengan cara yang positif, maka wanita berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan membantu isteri membasuh pinggan lepas makan adalah tingkah-laku positif. Setiap kali si suami membasuh pinggan selepas makan, maka si isteri berasa sangat puas. Ini bermakna, untuk memuaskan hati isteri, lelaki digalakkan membuat banyak perkara-perkara yang positif.
Sumber kepuasan wanita yang kedua datang daripada makna yang diberikan olehnya ke atas tingkah-laku suaminya. Mana-mana perbuatan lelaki yang diberi makna dan nilai tinggi oleh wanita mecipta rasa kepuasan yang tinggi kepada wanita. Hasilnya, setiap kali seseorang suami melakukan perbuatan-perbuatan begitu, maka isterinya berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan lelaki memuji masakan isterinya diberi makna yang tinggi oleh si isteri. Setiap kali seseorang suami memuji masakan isterinya, maka isterinya berasa sangat puas. Ini bermakna lelaki perlu mengetahui pelbagai tingkah-laku suami yang diberi makna dan nilai tinggi oleh isterinya, dan mereka digalakkan banyak menunjukkan tingkah-laku jenis itu kepada isteri
Suami-suami melakukan berbagai-bagai perkara. Setiap perkara yang dilakukannya diberi makna dan nilai oleh isterinya. Apabila perkara itu diberi nilai tinggi, setiap kali si suami melakukan perkara itu ke atas diri si isteri, maka si isteri mengecapi rasa puas yang sangat tinggi. Begitu juga yang sebaliknya. Setiap kali suami melakukan perkara-perkara yang diberi nilai rendah oleh isterinya,maka si isteri akan berasa amat tidak puas. Sebagai contoh, perbuatan balik lambat diberi nilai yang amat rendah oleh wanita, maka setiap kali lelaki balik lambat, isterinya akan berasa amat tidak puas.
Tetapi lelaki ingin tahu, bagaimanakah wanita memberikan nilai tinggi ataupun nilai rendah ke atas perbuatan dan tingkah-laku suami? Beginilah cara wanita memberikan makna dan nilai ke atas tingkah-laku suami mereka. Sebahagian daripada apa yang dilakukan oleh lelaki, mereka hanya melakukan perkara itu dengan isteri sahaja. Sebahagiannya pula mereka tidak pernah melakukannya dengan isteri. Manakala ada pula perkara-perkara yang mereka lakukan baik dengan isteri mahupun dengan orang-orang lain.


Berikut ialah kriteria yang digunakan oleh wanita untuk memberikan nilai tinggi ataupun rendah ke atas tiap-tiap tingkah-laku suami :

1. Eksklusif dengan isteri

Bagi wanita, tingkah-laku suaminya yang bersifat eksklusif, iaitu ia hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri seorang sahaja, diberi nilai yang amat tinggi oleh wanita. Contoh perbuatan eksklusif yang dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja ialah:

a. seks.

Semua tingkah-laku seksual si suami diberi nilai yang sangat tinggi oleh isteri selagi tingkah-laku seksual itu hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri sahaja. Tingkah-laku seksual termasuklah semua perbuatan yang mengiringi nafsu seks, dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang paling tinggi nilainya. Itulah sebabnya setiap kali suaminya melakukan perbuatan-perbuatan seksual ke atas si isteri, maka si isteri mengecapi kepuasan yang sangat tinggi.

b. Bercakap-cakap dan berbual-bual mesra lama-lama

Ramai lelaki menyangka mereka boleh melakukan perbuatan ini dengan wanita-wanita yang menjadi rakan-rakan rapat mereka dan lelaki menganggap perbuatan itu tidak patut menimbulkan rasa curiga di hati isteri mereka. Tetapi, bagi wanita perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan
mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya wanita berasa cemburu yang kuat apabila suaminya menghabiskan waktu yang panjang bercakap-cakap dan berbual-bual mesra dengan wanita lain, tanpa mengira siapa wanita itu kepada suaminya.

c. Usik-mengusik, bergurau senda dan bergelak ketawa

Bagi wanita perbuatan ini juga hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat di hati wanita.

d. Mencurahkan masalah peribadi

Bagi wanita, suaminya tidak patut mencurahkan perasaan dan masalah peribadinya kepada wanita lain kecuali dirinya. Oleh yang demikian perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat.

Apabila lelaki melakukan tingkah-laku yang sepatutnya sangat eksklusif itu dengan wanita lain, nilai tingkah-laku itu jatuh menjunam-junam di mata si isteri. Kepada si isteri, kini tingkah-laku itu tidak lagi membawa makna dan kepuasan yang sama seperti dulu. Itulah sebabnya, sebarang tingkah-laku seksual suaminya yang menyebabkan perbuatan itu kini tidak lagi ekslusif dengan dirinya seorang, ia menimbulkan reaksi cemburu yang sangat kuat daripada isteri.

2. Eksklusif tanpa isteri

Lelaki juga melakukan pelbagai perkara dengan orang-orang lain tetapi tidak pernah dengan isterinya. Sebagai contoh, lelaki tidak bermain bola dengan isterinya. Tingkah-laku suami yang tidak pernah dibuat dengan isterinya diberikan nilai yang rendah oleh si isteri. Jadi, perbuatan suaminya bermain bola dengan lelaki-lelaki lain tidak menimbulkan cemburu isterinya.

3. Inklusif

Ada kalanya lelaki melakukan perbuatan-perbuatan baik dengan isterinya, mahupun dengan orang-orang lain. Sebagai contoh ialah perbuatan makan. Perbuatan makan dilakukan oleh lelaki baik dengan isterinya dan juga dengan orang-orang lain. Perbuatan jenis ini diberi nilai yang sederhana tingginya. Setiap kali si suami makan
bersama isterinya, si isteri berasa sederhana puas. Jadi perbuatan suaminya duduk makan semeja dengan rakan-rakan wanita sekerjanya menimbulkan reaksi cemburu yang sederhana kuatnya.

Inilah asas kepada rasa kepuasan seorang isteri. Apabila tingkah-laku yang dulu eksklusif dengan dirinya, kini dilakukan juga oleh suaminya dengan wanita lain, maka nilai tingkah-laku itu turun, ataupun hilang sama sekali. Akibatnya, tingkah-laku suaminya itu tidak lagi memberi kepuasan kepadanya. Sebagai contoh, jikalau suaminya menciumnya, dia berasa sangat puas kerana perbuatan itu adalah eksklusif. Apabila suaminya juga mencium wanita lain, dia akan berasa sangat cemburu. Akibatnya, apabila suaminya mencium dia, ciuman suaminya itu tidak lagi memuaskannya.

Itulah sebabnya, setelah seseorang lelaki berkahwin lain, seks yang serupa tidak lagi memberi kepuasan yang serupa kepada isteri tuanya. Malah ia mungkin tidak memberikan apa-apa kepuasan lagi kepadanya, kerana kini seks bukan lagi tingkah-laku suaminya yang eksklusif dengan dirinya seorang. Kini suaminya juga melakukan tingkah-laku seksual itu dengan wanita lain. Inilah faktor yang membuat nafsu seks isteri tua menurun ataupun hilang sama sekali apabila dia mengetahui bahawa suaminya melakukan hubungan seks dengan mana-mana wanita lain. Jadi, walaupun seseorang lelaki masih memberikan seks yang serupa kepada isterinya, si isteri tidak lagi mengecapi nikmat yang sama, kerana kini nilai tingkah-laku seksual suaminya sudah turun amat rendah, ataupun hapus sama sekali.

Tetapi apakah faktor yang sebenarnya menurunkan ataupun menghapuskan nilai tingkah-laku si suami?

1. Perubahan tafsiran

Nilai itu turun kerana setelah suaminya melakukan seks dengan wanita lain, kini si isteri memberikan tafsiran yang berbeza kepada semua tingkah-laku suaminya. Perubahan tafsiran itulah yang menurunkan nilai tersebut.

Kalau dulu si suami membelikan kain batik untuk si isteri dan pemberian itu ditafsirkan oleh si isteri sebagai "Tanda kasih suaminya kepada dirinya", tetapi setelah suaminya kahwin lain, kini si isteri mengatakan "Dia belikan kain batik sebab dia hendak menutup rasa bersalahnya." Tafsiran seperti itulah yang menyebabkan
si isteri tidak lagi mendapat kepuasan yang sama daripada kain batik itu.

2. Perubahan penilaian

Kepuasan wanita juga hilang disebabkan cara-cara bagaimana dia kini menilai hubungannya dengan suaminya. Nilai itu berubah apabila dia tahu bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dulu si isteri berasa puas dengan apa yang dinikmati dalam perkahwinannya. Dulu dia puas kerana sebelum suaminya curang kepadanya, dia menilai mutu hubungannya tanpa membandingkan dengan hubungan lain. Kini, dia percaya hubungan suaminya dengan dirinya tidak sebaik hubungan suaminya dengan wanita lain itu. Akibat perbandingan itu, si isteri percaya dia tidak menikmati hubungan yang sebaik apa yang dinikmati oleh suaminya dengan wanita tersebut. Dia percaya kini suaminya menikmati lebih banyak kepuasan dengan wanita itu, manakala dia sendiri berasa dia tidak sepuas suaminya. Dia juga percaya suaminya
tidak berapa puas dengan dirinya dan suaminya lebih puas dengan wanita itu.

3. Ramalan negatif

Dengan persepsi seperti itu, si isteri yakin suaminya akan melabur lebih banyak ke dalam hubungannya dengan wanita lain itu. Malah dia percaya ada kemungkinan suaminya akan meninggalkan dirinya sama sekali. Itulah sebabnya kini dia tidak lagi menikmati rasa puas dengan hubungannya dengan suaminya, walaupun suaminya masih memberikan layanan yang sama seperti dulu.

4. Perubahan persepsi

Rasa tidak puas juga datang daripada persepsinya bahawa kini kasih sayang suaminya sudah berkurangan, walaupun suaminya beria-ia mengatakan itu tidak benar. Rasa tidak puas hati itu datang daripada perasaan bahawa dirinya kini sudah tersisih dan terkeluar daripada sebahagian aktiviti suaminya. Dalam lain perkataan, dia kini tahu
bahawa ada kalanya suaminya melakukan aktiviti-aktiviti di mana dia tidak diberi tempat sama sekali, seperti apabila suaminya berada bersama-sama dengan wanita lain itu.

Dia juga juga membayangkan bahawa di dalam aktiviti-aktiviti tertentu, suaminya mendapat lebih banyak keseronokan apabila aktiviti itu dilakukan bersama wanita itu. Seterusnya, dia juga tidak puas hati lagi dengan apa-apa yang diterima daripada suaminya kerana kini perkara-perkara itu tidak lagi eksklusif baginya seorang.

No comments: